Single “.stitches” menampilkan gabungan bunyi yang berat dan penuh intensiti. Dengan riff gitar padat, hentakan dram yang agresif serta vokal yang sarat emosi. Keseluruhan karya ini menggambarkan perjuangan batin antara keinginan untuk berubah dan realiti pahit apabila seseorang kembali ke kitaran yang sama.
“Lagu ini tentang saat-saat di mana kita rasa kita dah sembuh — kita rasa kita dah lepaskan — tapi akhirnya kita sedar kita masih sentuh luka yang sama,” jelas Vinnie selaku vokalis Trophy Knives. “Kami mahu terokai rasa kecewa, kesedaran diri, dan kekosongan bila kita sedar kita hidup dalam kitaran itu.”
Tajuk “.Stitches” sendiri menjadi metafora kepada cubaan manusia menutup luka emosi dengan “jahitan” sementara, penyelesaian cepat yang jarang bertahan lama. Titik di hadapan tajuk menggambarkan satu pengakhiran atau gangguan kecil, simbolik kepada hakikat bahawa kesakitan itu kini menjadi sebahagian daripada kitaran tersebut.
Single ini diterbitkan oleh gitaris Trophy Knives iaitu Sanu Khalid, ianya menandakan perubahan arah muzik yang lebih gelap serta introspektif berbanding karya terdahulu mereka, Look the Other Way. Walaupun kumpulan ini dikenali dengan persembahan bertenaga dan bunyi yang lantang, “.stitches” mempamerkan sisi rapuh dan jujur mereka... sesuatu yang pasti menyentuh hati para peminat.
Bersempena dengan pelancaran single ini, video muzik rasmi “.stitches” turut dilancarkan di saluran YouTube Trophy Knives. Video arahan Rudeen dari Sailang Visuals ini menampilkan penceritaan sinematik yang suram dan penuh simbolik, memperkukuh lagi impak emosi lagu berkenaan.
“.Stitches” kini boleh distrim di YouTube Music, Apple Music, serta semua platform digital utama.


Post a Comment