Selari dengan judul konsert solo pertamanya, 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH), kehadiran Joy ke Malaysia menerusi persembahan di Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu berjaya mencipta malam yang penuh emosi dan keterujaan buat para ReVeluvs.
Konsert tersebut bukan sekadar sebuah persembahan biasa, malah menjadi ruang istimewa buat Joy bertemu lebih dekat dengan peminat yang sudah lama menantikan kemunculannya di depan mata.
Joy memulakan malam penuh ‘percikan cinta’ itu dengan lagu Hello sebelum memukau lebih 1,500 peminat menerusi persembahan bertenaga dan mempesonakan sepanjang malam.
Suasana di Zepp Kuala Lumpur terus hangat apabila Joy mempersembahkan beberapa lagu popular seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu. Tidak cukup dengan itu, penyanyi tersebut turut membawa peminat menghayati runut bunyi drama Korea menerusi lagu Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy.
Pilihan lagu yang penuh emosi bersama aura ceria Joy nyata membuatkan peminat terpaku. Joy, atau nama sebenarnya Park Soo-young turut mengambil kesempatan berinteraksi mesra dengan ReVeluvs sambil meluahkan rasa rindunya terhadap mereka.
“Saya sangat merindui anda semua. Sangat hebat dapat
berkumpul dan bertemu kembali seperti ini,” ujarnya.
Selain vokal memukau, Joy turut menghiburkan peminat dengan persembahan tarian menerusi lagu Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-a-Boo yang mengubat kerinduan peminat terhadap Red Velvet.
Salah satu momen paling menyentuh hati malam itu adalah ketika Joy membaca surat daripada peminat. Seorang ReVeluvs secara terbuka berkongsi bagaimana karya Joy membantunya menghadapi masalah anxiety dan menjadi sumber kekuatan buat dirinya.
“Karya anda membuat saya rasa selamat dan sangat menyentuh hati,” ujar Joy selepas membaca kandungan surat tersebut sambil disambut sorakan gemuruh peminat.
Segmen interaktif turut menjadi antara detik paling dinantikan apabila Joy menyanyikan lagu Ice Cream Cake secara acapela bersama peminat. Malah, malam tersebut bertambah manis dengan persembahan lagu Love Splash, Day by Day, Happy Birthday to You dan Scent of Green.
Joy juga sempat meluangkan masa bermain permainan teka lukisan serta bertukar pesanan bersama peminat, sekali gus memperlihatkan sisi dirinya yang ingin mendekati ReVeluvs bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai insan yang menghargai hubungan dua hala bersama mereka.
“Saya sangat gembira hari ini, terima kasih banyak-banyak!
“Melihat anda semua menikmati Joy Splash membuatkan saya rasa keputusan untuk mengadakan jelajah ini adalah tepat,” katanya lagi.
Konsert diteruskan dengan sesi encore yang menampilkan lagu hit Red Velvet seperti Zimzalabim, You Better Know dan Hello. Sekaligus melengkapkan malam penuh kenangan itu.
Dalam pada itu, seorang peminat dikenali sebagai Wani, 30, menyifatkan Joy sebagai ‘cinta pertama’ dalam dunia K-pop buat dirinya.
“Saya jatuh cinta dengan suaranya,” katanya sambil berkongsi bahawa dia mula mengenali Joy menerusi program We Got Married.
Seorang lagi ReVeluvs pula menggambarkan Joy sebagai seorang idola berbakat dengan personaliti yang sangat menarik.
Sebelum ini, anggota Red Velvet lain seperti Irene & Seulgi serta Wendy turut mengadakan persembahan solo di Kuala Lumpur pada tahun lalu dan masing-masing berjaya meninggalkan pengalaman manis buat peminat tempatan.
Disebabkan itu, ramai ReVeluvs kini berharap dapat melihat Red Velvet kembali bersatu di atas satu pentas selepas kesemua anggota selesai dengan aktiviti dan jelajah solo masing-masing.





Post a Comment