KRU, sebuah trio yang terdiri daripada tiga beradik, Norman, Yusry, dan Edry Abdul Halim, mula mencetuskan revolusi muzik pop dan hip hop di Malaysia pada tahun 1992.
Selepas lebih dua dekad, walaupun banyak trio dan kugiran baru muncul di pasaran tempatan, KRU tetap tidak dilupakan dan terus menjadi legenda sepanjang zaman. Karya-karya mereka seperti "Mengerti," "Apa Saja," "Fanatik," "Generasiku," "Awas," "Gadis Jelita," "Terhangat Di Pasaran," "Janji Tinggal Janji," "Oh La La," hingga "Di Dalam Dilema," sentiasa diingati oleh para peminat.
Kini, Icon Entertainment akan mencipta sejarah dengan membawa KRU kembali menakluk hati peminat melalui sebuah konsert mega yang luar biasa! Diberi nama KONSERT GENKRU, peminat kini boleh mula mengumpul duit untuk menyaksikan tiga figura tersohor ini membuat persembahan memukau di pentas AXIATA ARENA, yang dijadual berlangsung pada 3 MEI 2025.
“Adalah menjadi penghormatan buat ICON ENTERTAINMENT mempersembahan KONSERT GENKRU kerana kredibiliti dan sejarah demi sejarah yang telah dicetak KRU sejak tahun 90-an sehingga membentuk gelombang muzik yang cukup berpengaruh kepada semua generasi sehingga kini. Saya sebenarnya telah merisik mereka dari 1 November 2022 lagi dan akhirnya pada September 2024, mereka bersetuju dengan pinangan saya.
“Tidak ada banyak janji yang ingin saya berikan kecuali anda akan rugi besar jika tidak menghadiri KONSERT GENKRU di AXIATA ARENA pada 3 MEI 2025 kerana ini merupakan penampilan sulung Norman, Yusry dan Edry selepas sudah sangat ranum dalam semua aspek industri hiburan selepas menebarkan virus ‘fanatik’ terhadap muzik tempatan yang punya kualiti hebat setaraf muzik dunia,” ujar Pengasas ICON ENTERTAINMENT, Iman Tang.
Bagi pihak KRU sangat menyambut baik penganjuran GENKRU ini. Ianya bertepatan dengan kembalinya mereka sempena 33 tahun dalam industri ini.
Muncul dengan single "Kaset" yang mempunyai makna nostalgia buat KRU serta generasi yang membesar dengan lagu-lagu mereka.
![]() |
| Yusry Abdul Halim |
“Selepas lebih enam tahun tidak membuat konsert berskala besar bersama KRU, kami menerima cadangan ICON ENTERTAINMENT menganjurkan KONSERT GENKRU kerana mempunyai misi dan visi yang sama dengan kami.
“KONSERT GENKRU bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi akan menjadi sebuah sejarah perjalanan lebih 30 tahun KRU dalam merevolusikan muzik tempatan setaraf dengan muzik Nusantara dan antarabangsa.
“Konsert ini akan menjadi medan peminat melihat transisi KRU dari generasi 90-an sehingga berkembang dan membina empayar kami pada masa kini,” luah KRU.
![]() |
| Norman Abdul Halim |
Tidak ingin mengungkapkan butiran lebih lanjut tentang konsep dan persembahan yang akan dipamerkan dalam KONSERT GENKRU, trio ini berjanji bahawa ia akan menjadi sebuah konsert yang epik pada tahun 2025 untuk semua peminat muzik tempatan.
![]() |
| Edry Abdul Halim |
Untuk menjadi salah seorang saksi mata, telinga, dan jiwa dalam sejarah penganjuran konsert paling epik tahun 2025, pastikan anda tidak terlepas membeli tiket-tiket mengikut kategori harga yang telah ditetapkan.
Tiket boleh didapati dari kategori berikut: OOH!LA!LA! (RM258), AWAS (RM358), MENGERTI (RM478), TERHANGAT DI PASARAN (RM508), APASAJA (RM548), dan FANATIK (RM588).
Untuk pembelian tiket, sila layari WWW.TICKET2U.COM.MY/KRU bermula pada 20 Disember 2024, jam 11 pagi.





Post a Comment