M.Nasir Terbang Tinggi Dalam "Nuri Terbang Malam "

Dato’ M. Nasir, sekali lagi memberi inspirasi dengan karyanya yang terbaru; sebuah lagu klasik awal 1900-an, Nuri Terbang Malam yang telah digubah semula. Lagu ini dipercayai sebagai lagu Melayu pertama yang pernah direkodkan pada piring hitam sekitar tahun 1903 oleh syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company.

Nuri Terbang Malam asalnya dinyanyikan oleh Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang. Lagu ini dirakamkan di Singapura dan menggabungkan elemen muzik tradisional India dan Timur Tengah, mencerminkan pelbagai budaya yang ada di rantau ini pada waktu itu. Liriknya berkisar tentang cinta yang abadi, seperti burung Nuri yang terus mencari dalam kegelapan malam.

Untuk memberi nafas baharu kepada karya ini, Luncai Emas telah menerbitkan versi rakaman baharu Nuri Terbang Malam yang dinyanyikan oleh Dato’ M. Nasir. Nasir. 

“Sebagai seorang penggiat seni, saya ingin membawa karya ini ke generasi baharu tanpa melupakan asal usulnya. Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita, dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya,” kata Dato’ M. Nasir.


Usaha pembangkitan semula lagu ini adalah sebahagian daripada projek kerjasama antara Luncai Emas Sdn Bhd dan World Business Affairs Sdn Bhd (WBA) yang diberi nama ‘100 Lagu 100 Tahun’. Projek ini adalah idea Professor Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan juga produser & komposer terkenal Dr Mohd Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer. Objektif projek ini adalah untuk menghimpunkan 100 lagu popular Melayu bermula dari abad ke-20 dalam bentuk audio dan juga buku. Buku ini mengandungi informasi tentang latar belakang dan sejarah setiap lagu, menjadi rujukan berharga kepada generasi masa kini dan akan datang. Buku ‘100 Lagu 100 Tahun’ akan diterbitkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) Press manakala audio ‘100 Lagu 100 Tahun’ hasil penerbitan Azmeer akan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd sepanjang tahun 2025.

Allahyarham Hanafi Hamdan atau lebih dikenali sebagai Nafie Spider telah  bertanggungjawab sebagai produser untuk menerbitkan lagu ini. Allahyarham telah mereka semula struktur lagu tersebut dengan memperkenalkan rentak yang lebih rancak namun masih mengekalkan elemen tradisional India dan Timur Tengah yang menjadi tunjang asal lagu ini. Selain itu, beliau juga menambah progresi kord untuk mencipta dinamik dan nuansa yang berbeza daripada lagu asal, memberikan pengalaman mendengar yang lebih moden dan segar.


‘’Secara tidak langsung, lagu ini adalah dedikasi buat arwah yang telah berkhidmat melakukan kerja – kerja rakaman serta susunan muzik untuk lagu ini sehingga ia siap sepenuhnya. Ini juga karya arwah sebelum meninggal dunia pada 22/11/2024 lalu akibat strok’’ jelas Luncai Emas.

Untuk merealisasikan kemunculan Nuri Terbang Malam di khalayak ramai di semua platform digital, sebuah Muzik Video arahan Sha Bromo telah dirakamkan dengan konsep teater bangsawan yang dipentaskan pada tahun 1950-an. Ianya menunjukkan bagaimana ia dipersembahkan pada era tersebut. Penggambaran muzik video ini melibatkan kerjasama dengan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta penglibatan pelajar akademi tersebut.

Nuri Terbang Malam kini boleh didengari di platfom muzik popular.

Post a Comment

Previous Post Next Post