Istimewa! Kilafairy bakal Tampil Dalam Konsert Udit Narayan In KL

 

Kilafairy (kiri), Udit Narayan (kanan)

“Saya mahu arwah ibu, Allahyarham Rohana Jalil jadi saksi pembabitan saya dalam konsert epik dan bersejarah bersama legenda tersohor Bollywood, Udit Narayan. Jika arwah ibu masih hidup pasti beliau bangga,” luah penyanyi Kilafairy.

Ya, Kilafairy, atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan, mempunyai banyak sebab untuk berasa gembira dan bangga setelah dipilih untuk berkongsi pentas dengan ikon muzik Bollywood, Udit Narayan, dalam Konsert Udit Narayan In KL pada 28 Disember ini.

Udit Narayan (kredit fb Udit Narayan)

Salah satu sebabnya ialah anak kepada penyanyi Allahyarham Rohana Jalil ini menjadi penyanyi wanita Malaysia yang terlibat dalam Konsert Udit Narayan In KL di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Nama Kilafairy dipilih oleh penganjur, VVST Digital Creation, kerana kredibilitinya sebagai penyanyi yang fasih menyanyikan lagu-lagu Bollywood.

Kilafairy, 32 tahun, menggambarkan peluang emas yang diberikan kepadanya ini sebagai impian yang menjadi kenyataan.

Kilafairy

“Udit Narayan ada seorang figura yang sangat istimewa. Saya meminati Udit kerana merupakan peminat tegar Shah Rukh Khan dan kebanyakan lagu yang didendangkan SRK dalam filem adalah vokal Udit.

“Jadi apabila dilamar untuk terbabit dengan Konsert Udit Narayan In KL, saya terkejut, tidak percaya, gemuruh dan takut kerana akan berkongsi pentas dengan seorang ikon.

“Saya juga bangga kerana ini merupakan penglibatan sulung saya dalam konsert Bollywood berskala besar, apa lagi membabitkan pesohor Udit Narayan. Ia umpama mimpi menjadi kenyataan,” katanya Kilafairy.

Kilafairy kini sibuk menjalani latihan vokal menyatakan bahawa akan menampilkan sebuah lagu solo serta dua buah lagu duet bersama Syamel.

“Saya akan menyanyikan sebuah lagu solo dan berduet dua buah lagu dengan Syamel pada malam 28 Disember 2024 nanti.

“Dan sekarang saya giat menjalani latihan vokal serta mendalami lenggok nyanyian Hindustan kerana penghayatan daripada segi lenggok Bollywood sangat berbeza dengan Melayu. Ia penting malah lagu Tamil dan Hindi juga punya lenggok berbeza,” katanya.


Sudah menyanyi Bollywood sejak kecil lagi

Dunia Bollywood bukanlah sesuatu yang baru bagi penyanyi dan pelakon ini. Kilafairy sudah mula menyanyikan lagu-lagu Bollywood sejak berusia 8 tahun dan menonton filem-filemnya sejak kecil bersama keluarga.

Bollywood, menurutnya lagi, sering membawa dirinya kembali ke masa lalu, menikmati momen-momen bersama keluarga, terutamanya bersama arwah ibu yang telah meninggal dunia pada tahun 2023.



“Saya mula menyanyikan lagu-lagu Bollywood sejak usia 8 tahun dan menonton karyanya sudah seperti menjadi satu tradisi dalam keluarga sejak saya kecil.

“Saya juga belajar ‘permainan’ emosi dalam dunia lakonan menerusi filem Bollywood. Saya suka bagaimana karakter diterjemahkan dan instrumen serta bunyi-bunyian dalam naskhah Bollywood.

“Maka apabila terlibat dalam Konsert Udit Narayan In KL, saya terasa pulang kembali ke masa silam saat menghabiskan momen menonton filem Bollywood.

“Khabi Khushi Khabi Gham merupakan filem yang saya dan keluarga tonton sebanyak lima kali dan masih menangis.

“Arwah ibu saya juga sangat meminati lagu Khushiyan Aur Gham Movie dari filem Mann.

“Dan saya sendiri meminati terlalu banyak karya Udit Narayan terutama daripada filem Devdas, Mann dan Taal. Semuanya menusuk jiwa,” tambah Kilafairy.

Kilafairy akan tampil kostum ala Bollywood sempena Konsert Udit Narayan In KL.

“Saya akan menyarung busana daripada pereka Shanell Harun. Tentu sahaja ia akan punya tema Bollywood namun tidak ada yang berlebihan.

“Saya akan tampil dengan gaya sederhana tapi elegan seperti penampilan selalu,” ujarnya.

Konsert Udit Narayan In KL akan menyaksikan kembalinya ikon legenda muzik Bollywood yang dikenali sebagai Raja Melodi dan memiliki lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sepanjang tiga dekad kariernya ke Malaysia selepas 12 tahun.


Terkenal dengan lagu ikoniknya, "Papa Kehte Hain," dan persembahannya dalam filem "Qayamat Se Qayamat Tak," Udit akan membawa peminat lagu Hindustan ke era kegemilangan industri filem dan muzik Bollywood dari zaman 90-an hingga kini.


Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Konsert Udit Narayan In KL yang akan berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 28 Disember 2024.


Pembelian tiket boleh dilakukan di https://myticket.asia/ atau hubungi VVST Digital Creation di vvstdigital@gmail.com.


Untuk makluman, pembatalan konsert Udit Narayan di Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan penganjur konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur, iaitu VVST Digital Creation. 


Pihak penganjur juga memberi jaminan bahawa konsert Udit Narayan di Kuala Lumpur akan berlangsung seperti yang dijadualkan tanpa sebarang masalah.




Post a Comment

Previous Post Next Post